12 April 2011

Rahsia penyampaian hasil penyelidikan yang baik

Sumber gambar: e-socrates.org
Sempena dengan suasana dan musim ramai yang kena buat "presentation". Saya mungkin nak berkongsi pengalaman tentang cara untuk membuat penyampaian yang baik. Penyampaian yang baik bergantung kepada penyampai, pendengar dan juga suasana atau persekitaran berlakunya penyampaian. "Post" untuk kali ini saya akan fokus hanya pada faktor penyampai. Penyampaian atau persembahan hasil penyelidikan adalah satu tugasan yang amat mencabar jika anda tidak tahu caranya. Tetapi ianya akan bertukar kepada perkara yang menyeronokkan jika hasil penyelidikan yang ingin di sampaikan dapat diterima 100% oleh pendengar dan hasil dari penyampaian ini berlakunya pertukaran ilmu saintifik.

Berkomunikasi tentang hasil penyelidikan yang berkesan bermula dengan data yang baik dan ianya tidak berakhir di situ sahaja. Sebaliknya, banyak hasil penyelidikan yang baik dibentangkan dengan cara yang teruk dan tidak di fahami oleh si pendengar. Lebih teruk lagi, perbentangan hasil penyelidikan ini tidak berlakunya pertukaran pendapat atau tidak menstimulasi maklum balas (feedback) yang dapat meningkatkan mutu dan kualiti penyelidikan. Oleh itu, persembahan hasil penyelidikan ataupun ilmu saintifik ini bukanya satu tugasan yang mudah. Ianya memerlukan usaha menyatukan hal-hal penyediaan "slide presentation" yang menarik, penyampaian lisan yang jelas, dan boleh memprovokasi pendengar untuk memberi maklum balas. Sebagai contoh, selepas membentangkan hasil penyelidikan masing-masing, jika panel atau pendengar pembentangan anda hanya diam dan tidak memberi maklum balas, anda akan mungkin beranggapan mereka semua paham dan jelas apa yang anda telah sampaikan. Tetapi, mungkin juga mereka diam disebabkan mereka tidak paham dan tidak tahu untuk memberi maklum balas tentang hasil penyelidikan anda.

Saya mungkin kurang pakar atau arif tentang cara terbaik untuk mempersembahkan ilmu penyelidikan, tetapi mungkin saya boleh berkongsi dengan anda pengalaman saya sebelum ini dan antara rahsia-rahsia penyampaian ilmu scientifik yang baik. Saya boleh rumuskan, untuk menyampai hasil penyelidikan anda dengan berkesan, pastikan:

1.  Siapkan bahan-bahan persembahan (slide, nota dll) anda dengan teliti dan logik.
Anggap macam anda mahu bercerita kepada mereka. Pastikan cerita anda mempunya sekurang-kurangnya empat bahagian:
  • Pengenalan
  • Kaedah
  • Keputusan
  • Kesimpulan

Kaedah - merangkumi pendekatan anda tentang penyelidikan anda. Bagi saya, penerangan kaedah menjadi lebih menarik kepada si pendengar jika bahagian ini adalah seperti anda bercerita daripada seperti apa di dalam buku teks. Dengan kata lain, anda seperti bercerita, "saya menggunakan cara A dan saya cara B, tetapi saya gagal kedua-duanya dan saya mencuba cara C" daripada anda berkata "keputusan akhir diperolehi dengan menggunakan pendekatan ini".Jika anda perasan, ayat kedua nampak seperti ayat di dalam buku teks dan ayat pertama banyak unsur-unsur kemanusian untuk penyelidikan anda; yang selalunya lebih menarik.

Keputusan - adalah ringkasan daripada hasil utama penyelidikan anda. Cuba untuk menerangkan sejelas yang mungkin hasil penyelidikan anda, termasuk hasil yang paling menonjol dalam penyelidikan anda.

Kesimpulan - bahagian ini harus padat dengan hasil dan implikasi penyelidikan anda. Ianya harus ringkas tapi padat, "bullet" ataupun "outline form" sangat membantu untuk ianya senang di fahami. Pastikan ianya merangkumi seluruhnya hubung kait keputusan yang anda dapat dengan gambaran permasalahan yang anda telah cerita di pendahuluan. Jangan terlalu banyak, 3 -4 perkara sudah memadai.

Kesemua 4 bahagian ini menjadi teras kepada penyampaian hasil penyelidikan yang baik. Penyampai yang baik selalunya memperluaskan bahagian pendahuluan dengan meletakkan permasalahan penyelidikan dalam konteks yang lebih luas. Penyampai yang baik juga selalunya menambah bahagian kepada bahagian yang kelima; iaitu Penyelidikan masa depan.

Anda mungkin boleh menceritakan sedikit hasil penyelidikan anda di bahagian pendahuluan supaya pendengar teransang tentang hasil penyelidikan anda dan mendapat jawapan yang di nantikan di bahagian Keputusan. Anggap anda seperti memberikan mereka "menjamah" manisan atau makanan yang anda berikan dan dapat merasai kemanisan dan kesedapan makanan anda di bahagian Keputusan.

2.   Berlatih untuk penyampaian.
Tiada alasan untuk anda tidak bersedia untuk menyampai atau "present". Cara terbaik untuk membiasakan diri anda dengan bahan-bahan penyampaian dan menepati waktu penyampaian adalalah dengan berlatih untuk menyampai hasil penyelidikan anda. Berlatih tidak menyakitkan hati anda sepertimana jika anda gagal untuk membuat penyampaian pada waktu sebenar nanti. Teruskan berlatih sehingga anda fasih dan jelas menyampaikan kandungan penyampaian anda. Lebih baik lagi anda berlatih di hadapan kumpulan yang kecil dan pastikan mereka memberikan maklum balas tentang perbentangan anda.

Sumber gambar: sequenceweb.co.uk
 3.  Jangan masukkan terlalu banyak bahan penyampaian.
Penyampaian yang baik hanya akan mempunyai satu atau dua fokus dalam bahan penyampaian mereka. Saya banyak melihat penyampaian yang menerangkan hal-hal hasil penyelidikan mereka yang tidak penting dan berakhir dengan kehabisan waktu di akhir penyampaian. Fokus harus di berikan kepada hasil-hasil penyelidikan yang penuh ilmiah bukan untuk menunjukkan orang betapa pandai nya anda. "Less is better for a talk". Lagipun, saya tidak pernah dengar orang merugut jika kita menghabiskan penyampaian awal.

4.  Elakkan persamaan.
Hanya tunjukkan persamaan (equotions) yang ringkas jika anda mahu juga untuk meletakkannya. Tanya pada diri anda sendiri, "adakah penting saya meletakkan persamaan ini?", "perlukah saya fokus kepada persamaan ini?". Masalahnya, biasanya persamaan adalah satu notasi matematik padat yang menunjukkan hubungan secara kuantitatif. Orang biasanya "mempelajari" persamaan, bukan untuk hanya melihat persamaan yang terlintas di skrin selama 2 minit. Kenyataannya, persamaan ini menganggu dan mengalih perhatian si pendengar. Pendengar akan berhenti mendengar dan mula untuk belajar persamaan tersebut. Dan akhirnya, dia akan sesat dalam sessi penyampaian anda; dan mula hilang fakta-fakta penting hasil penyelidikan anda. Jika anda mahu tunjuk juga persamaan, letak secara jelas dan sampaikan dengan ringkas.

5.   Memiliki hanya beberapa kesimpulan
Orang biasanya tidak dapat mengingati lebih dari beberapa perkara yang anda telah sampaikan dalam kesimpulan. Terutamanya jika mereka telah mendengar banyak penyampaian atau perbentangan dalam satu masa yang sama. Sebagai contoh, ada rakan anda bertanya tentang penyampaian yang anda telah dengar, macam mana anda mahu menerangkannya kembali? Anda mungkin menjawab "si fulan menerangkan ini dan itu, mereka juga menemui hal ini dan itu". Anda tidak mungkin akan jawab "aku ingat kesemua 10 kesimpulan dalam penyampaian itu. 1. ini itu 2. itu ini. dll. Biasanya, orang hanya akan ingat satu atau dua perkara dari kesimpulan penyampaian anda. Sepatutnya, anda harus memberitahu kepada si pendengar apa yang perlu di ingati daripada membiarkan mereka mencari sendiri fakta-fakta itu.

6.  Bercakap dengan penonton bukan dengan skrin.
Masalah yang paling umum saya lihat adalah penyampai lebih suka bercakap dengan skrin dari bercakap dengan orang. Sukar untuk mendengar suara penyampai dan pendengar akan hilang minat jika tiadanya "eye contact" dalam penyampaian. Terus terang, hal ini sukar untuk di elakkan tetapi si penyampai perlu melihat objek di skrin, tunjuk arah di skrin, dan kemudian kembali melihat pada pendengar untuk menerangkan hasil penyelidikan anda. Saya cadangkan, jangan mula untuk bercakap jika anda menunjukkan sesebuah graf atau keputusan penyelidikan. Biarkan mereka melihat graf tersebut seketika; mereka biasanya tidak dapat menumpukan perhatian pada graf anda jika anda bercakap pada masa yang sama. Bercakap dengan lantang dan perlahan. Saya selalu memilih seorang dua untuk di jadikan "focus point" saya semasa menyampai penyampaian saya dan saya akan tumpu kepada mereka seolah-olah saya sedang menjelaskan sesuatu kepada mereka.

Sumber gambar: Google images

7.  Elakkan membuat suara-suara sumbang
Semua orang akan gugup jika menyampaikan sesuatu di khalayak ramai. Tetapi kadang-kadang kegelisahan kita ini sering mengeluarkan suara yang menganggu atau kebiasaannya memang benar-benar menganggu pendengar. Cuba elakkan mengeluarkan ayat "Ummmm" dan "Ahhhh". Kawal penafasan anda, jangan sampai anda seperti sedang menggunakan tong oksigen semasa "scuba diving" yang mengeluarkan bunyi yang sumbang semasa bercakap.

8.  Halusi grafik anda
Berikut adalah beberapa tips untuk bahan grafik anda:
  • Gunakan tulisan atau "font" yang besar (tiada tulisan yang kecil lebih daripada 16 pts). Biasanya saya nampak tajuk axis graf dan tajuk gambar dalam bahan (slide) sukar untuk dilihat. Anda kena ingat, tak semua pendengar anda mempunyai penglihatan yang jelas seperti anda. Yang datang mungkin Profesor-profesor yang banyak membaca atau senior-senior yang cermin matanya lebih tebal dari buku teks sejarah.
  • Pastikan grafik anda ringkas. Jangan tunjukkan grafik yang anda rasa tidak perlu dalam penyampaian anda. Jangan menyerabutkan "slide" anda dengan grafik yang banyak, perkataan yang berlainan saiz tulisan atau font, dan memeriahkan dengan ayat-ayat dalam "slide"anda dengan pelbagai warna. Mungkin ianya cantik pada anda, tetapi mungkin juga ianya menyakitkan mata si pendengar.
  • Gunakan warna. Warna boleh menonjolkan grafik anda. Tetapi warna yang terlalu cerah sukar di lihat. Juga pastikan semua grafik atau gambar yang anda ingin tontonkan keluar pada projektor semasa penyampaian. Ini kerana ada gambar atau video, cantik di komputer anda, tapi bila di projekkan, gambar lain yang keluar. 

    Sumber gambar: www.findthewords.com
    9.  Gunakan lawak jika perlu 
    Lawak boleh di masukkan untuk "spice-up" penyampaian anda dan merehatkan pendengar. Ini menekankan sifat atau cara penyampaian yang kasual.Saya selalu kagum kepada "presenter" yang boleh membuat lawak dan lawaknya mendapat sambutan dalam sesuatu penyampaian saintifik. kagum, kagum dan kagum.

    10.  Menjawab dengan tenang
    Soalan selepas penyampaian adalah amat menakutkan. Tetapi soalan ini amat penting. Jika tiada orang yang menyoal saya selepas saya habis bercakap, saya akan merasa kecewa. Ini bermakna saya gagal untuk meransang pendengar untuk bertanya atau adakah mereka paham apa yang saya telah bentangkan. Saya gagal untuk berkomunikasi. Soalan penting kerana ianya memberitahu bahagian mana yang pendengar kurang paham. Soalan juga boleh membantu anda dalam memperbaiki penyelidikan dan didalam penulisan anda. Jadi, bagaimana cara terbaik untuk menjawab soalan?

    • Ulangi soalan yang diterima. Ini memberikan masa untuk anda berfikir dan mungkin membantu pendengar yang lain yang tidak mendengar soalan tersebut. Juga ianya memberikan peluang kepada anda untuk meminta penjelasan jika ada bahagian yang anda tersilap dengar.
    • Jika anda tidak tahu jawapan kepada soalan tersebut, jawab "saya tidak tahu, saya akan menyemaknya kembali". Jangan cuba untuk menjawab dengan pantas. Bersikap jujur dan rendah diri. Anda hanya manusia, anda tidak tahu segala-galanya.
    • Jika penyoal tidak bersetuju atau membantah dengan anda dan situasi berubah ke situasi yang tegang, cuba redakan keadaan. Pengerusi majlis yang baik mungkin akan masuk campur dan mengalih perhatian penyoal kepada topic yang lain, tetapi jika tiada, anda harus menanganinya sendiri. Cth. "kami jelas tidak setuju dalam hal ini, mari kita ke soalan yang lain dan mungkin saya dan awak boleh berbincang tentang hal ini kemudian".
    • Jangan menghina penyoal. Dia mungkin kawan anda, dan anda tidak perlu tambahkan musuh anda.

    Beberapa tips yang lain.

    Terima kasih - Ini selalu idea yang baik untuk berterima kasih kepada mereka yang membantu anda, dan kepada mereka yang mengundang anda untuk menyampaikan sesuatu.

    Berpakaian kemas - Orang datang untuk mendengar penyampaian anda, tetapi bila anda berpakaian kemas, anda memberikan mesej kepada mereka yang hadir yang anda ingin kelihatan kemas dan senang mata memandang.

    Pastikan perjalanan penyampaian anda berjalan lancar. Jangan menyebabkan hasil titik peluh anda, hasil bersengkang mata untuk menyiapkan "slide" dihancurkan dengan kegagalan komputer atau "software" yang anda gunakan semasa penyampaian. Ianya memberikan imej atau tanggapan yang anda kurang bersedia walaupun anda telah bersedia 150%.

    Akhir sekali, saya ingin ucapkan selamat bertempur untuk kepada sesiapa yang belum "present", dan yang telah selesai "presentation" masing-masing, jangan berhenti untuk menambahkan teknik-teknik penyampaian yang baik dengan banyakkan membaca dan rujuk buku-buku yang berkaitan. Yang penting banyakkan membuat perbentangan atau penyampaian untuk melatih diri untuk maju ke hadapan. Jangan takut untuk gagal dalam memberikan penyampaian. Bak kata peribahasa jepun, "Fall seven times, stand up eight". Teruskan success!!!

    Sumber gambar: eaglevents.com

    0 comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Share

    Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites